Tuesday, March 5, 2013

RASULULLAH S.A.W SEBAGAI TELADAN



RASULULLAH SEBAGAI TELADAN
(koleksi tazkirah Cikgu Nora untuk para pelajar sekolah 2012)

 Kejayaan manusia di dunia ini pada hakikatnya adalah sejauh mana seseorang itu berjaya mengikuti,  mengamalkan & berpegang teguh terhadap sunnah Nabi Muhammad s.a.w .  Allah telah mengutuskan seseorang di kalangan manusia untuk kita teladani akhlaknya  serta mencontohi cara kehidupan baginda.

Firman Allah swt dalam surah alAhzaab ayat 21:


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ


“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu uswatun hasanah (suri teladan yang baik) bagimu  


Sabda Nabi Muhammad saw:

 تَضِلُّوْا اَبَدَ تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا لَنْ
كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى
Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya
nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku

Anak-anak yang saya kasihi,
Saban tahun di seluruh dunia, sambutan Maulidur Rasul memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w diadakan termasuk di negara kita. Dendangan selawat dan puji-pujian ke atas Baginda menghiasi halwa telinga dan cerita-cerita yang dipaparkan di media banyak mendatangkan keinsafan terhadap peranan kita sebagai umat Baginda.

Namun bagi umat Islam, keutamaan kita lebih dari sekadar untuk berarak dan berkumpul bagi merayakannya. Adalah amat penting untuk umat Islam terutamanya remaja menghayati keunggulan keperibadian Rasulullah dan menghayati sejarah perjuangan Baginda. Bagi remaja Islam, kekuatan keperibadian Baginda dapat dijadikan teladan yang baik (Qudwah Hasanah) untuk dicontohi.

Remaja dan contoh keperibadian Rasulullah

Remaja sentiasa mencari-cari seseorang untuk dijadikan contoh. Dalam hal ini, nyata remaja hari ini lebih mengagumi tokoh-tokoh popular, yang menonjol barangkali kerana rupa paras, ilmu atau kelebihan yang dimiliki dan remaja lebih suka menjadikan mereka idola atau pujaan hati mereka.

Dalam Islam, menjadikan seseorang sebagai contoh tidak boleh sehingga terlalu memuja orang tersebut. Contoh yang terbaik untuk diikuti ialah Rasulullah. Baginda selama 13 tahun berusaha berdakwah kepada umat Islam di Mekah untuk meninggalkan berhala yang menjadi idola dan sembahan mereka dan mengajak mentauhidkan Allah yang Esa.

Watak Rasulullah dibentuk oleh Allah melalui al-Quran.  Sahabat pernah bertanya kepada isteri baginda, Saiditina Aishah tentang akhlak Rasulullah dan  Aishah menjawab :
Maksud: Akhlaknya adalah al Quran.

Sifat-sifat Nabi terserlah daripada peribadinya yang mulia, kebijaksanaan Baginda dalam memimpin negara, berlemah-lembut dan berhikmah dalam berdakwah serta berwasatiah (bersederhana) dalam soal kehidupan harian. Malah Rasulullah sentiasa mempamerkan budi pekerti yang baik dan terpuji kepada umatnya. 

Sejarah hidup Rasulullah melalui pelbagai jalan getir dan hidup yatim piatu sejak kecil lagi apabila bapanya meninggal dunia ketika Nabi di dalam kandungan ibunya. Tidak dapat merasai kasih sayang seorang bapa, ibunda yang dikasihi pula meninggal dunia ketika usia Nabi masih muda. Keperitan Baginda membesar tanpa ayah dan ibu menjadikan Baginda seorang yang berdikari, matang di bawah jagaan datuk dan bapa saudaranya, berbantukan  perlindungan daripada Allah s.w.t.

Allah telah memberi tarbiyah kepada Baginda menjadi seorang yang jujur, amanah dengan menghadiahkan Nabi pengalaman hidup yang mendidik Baginda seorang yang terpuji. Terpuji kerana sifatnya yang tidak pernah menyembah berhala, sentiasa melihat dan merenung terhadap persekitaran dan kekayaan alam sekelilingnya. Atas sifat terbilangnya dan kepimpinan diri, Rasulullah diberi penghormatan menyelesaikan pertikaian dan perbalahan kerana perebutan kuasa dalam kalangan ketua kabilah untuk menempatkan Hajarul Aswad.

Baginda juga terkenal sebagai penggembala kambing dan peniaga yang memiliki sifat amanah, cekap, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan yang berganda untuk rombongan perniagaan Khadijah.Banyak teladan dan contoh ikutan ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad buat pedoman remaja dan belia. Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan pemudi Islam tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah sebagai model ikutan sepanjang zaman.

Justeru, remaja harus dididik agar memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutamanya sebagai remaja serta kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup. Dengan keyakinan yang jelas terhadap kepentingan penghayatan sirah ini, ia mampu menumbuhkan kecintaan dan usaha dari dalam diri mereka sendiri untuk terus mencari dan menghayati sirah agung sepanjang hayat mereka.

Cara dan gaya mendidik remaja menghayati sirah harus bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah mematangkan remaja dan melatih mereka berfikir sebagai manusia yang bertanggungjawab memikul amanah yang telah Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat Islam.
Selain itu, Rasulullah harus ditonjolkan sebagai tokoh di zaman remaja Baginda. Ketokohan Baginda sebagai tokoh perniagaan sejak remaja lagi menyerlahkan Baginda sebagai ahli perniagaan remaja yang pintar membina strategi perniagaan berlandaskan nilai murni dan kejujuran.

Beliau ialah tokoh remaja yang kata-katanya dipercayai setiap lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda. Di sini, Rasulullah telah menetapkan asas kukuh bagi peribadi anak muda yang ingin bergerak aktif dan berjaya dalam bidang perniagaan iaitu bersifat amanah dan bertanggungjawab selain daripada mengetahui kemahiran dan strategi dalam perniagaan, walaupun masih baru dalam bidang tersebut.

Selain diri Rasulullah sendiri, sirah Baginda juga menampilkan ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil didikan Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid ,Tariq bin Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar, dan ramai lagi tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat. Rasulullah telah berjaya mendidik mereka mewarisi peribadi unggul dan keberanian dalam menegakkan agama Islam.

Sebagai remaja Islam, perjalanan sirah akan lebih dihargai jika pengajarannya dihayati. Remaja akan berasa lebih karib dengan sirah apabila mereka ditunjukkan dengan pesanan-pesanan penting yang tersirat di sebalik fakta-fakta sirah. Di sini perlu wujudnya kesan kepada jiwa dan bukan semata-mata hafalan tarikh atau nama.

Remaja yang dapat menjadikan sirah sebagai penyegar jiwanya mampu membentuk jiwa dan rohnya supaya lebih tenang, bersemangat dan kental menghadapi cabaran mendatang.

Kesimpulan
Menampilkan contoh teladan yang baik adalah amat perlu untuk diri remaja. Contoh yang ditampilkan adalah mereka yang berakhlak mulia, mempunyai keterampilan dan berwawasan jauh, berilmu dan bijaksana serta mampu mengajak orang lain menjadi sepertinya.

Oleh itu, Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia. Hari ini ramai tokoh yang lahir tampil mengagumkan kita, namun personaliti Rasulullah dan kebijaksanaan Baginda telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Baginda telah menampilkan transformasi yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi pengikut.
Sesungguhnya, kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.

KELEBIHAN BACAAN AL-MA’THURAT

KELEBIHAN BACAAN AL-MA’THURAT
(Tazkirah yang telah disampaikan oleh Cikgu Nora semasa perhimpunan rasmi sekolah pada 18.3.2013)

Al-Ma’thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Ia dikumpul dan disusun oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Wirid, doa, zikir dan istighfar di dalam Al-Ma’thurat jika dibaca secara konsisten dan istiqamah akan memantapkan jiwa dan dapat mendidik hati agar sentiasa merindui Allah SWT di samping akan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani. Orang yang mengamalkan zikir Al-Ma’thurat akan merasakan perbezaan dari hari-hari yang tidak dimulakan dengannya. Begitulah antara kekuatan doa dan wirid di dalam Al-Ma’thurat.

Bagi seorang mukmin masanya tidak boleh berlalu begitu sahaja. Di waktu pagi dan petang ia hendaklah sentiasa bertasbih, beristighfar, bertahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal dari Nabi SAW)

Firman Allah SWT di dalam Surah Qaaf ayat 39 , 

فَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ
Bermaksud : ‘ Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhan mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya ’

Antara kelebihan membaca Al-Ma’thurat ialah :

1. Ia dimulai dengan ucapan ‘Aku bermohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam’.

2. Bacaan Al-Fatihah di dalam Al-Ma’thurat merupakan bacaan yang agung. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Demi Allah yang nyawaku di tangan Nya, belum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah ‘Al-Sab’ul Mathani dan Quran yang agung yang diturunkan kepadaku".

3. Membaca surah al-Baqarah dalam zikir Ma’thurat juga memperolehi pahala yang besar. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Sesiapa membaca sepuluh ayat dari Surah al-Baqarah di awal siang nescaya ia tidak akan didekati syaitan sehingga petang, jika dibaca di waktu malam pula nescaya syaitan tidak akan mendekatinya sehingga ke pagi. Tidak akan dilihatnya apa-apa yang buruk menimpa keluarganya atau hartanya ".

4. Membaca ayat Kursi juga akan menghindarkan diri dari gangguan syaitan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesiapa membaca sepuluh ayat dari ayat-ayat surah al-Baqarah, ayat Kursi, dua ayat selepasnya dan hujung surah al-Baqarah nescaya syaitan tidak akan masuk ke dalam rumahnya sehinggalah ke pagi".

5. Di samping itu, doa-doa yang dimuatkan dalam al-Ma'thurat itu merupakan doa daripada nabi saw yang sewajarnya kita turut amalkan dalam kehidupan kita pada hari ini.

“Sesungguhnya Rasulullah selalu menyebut-nyebut rahmat Tuhan, dalam satu hadis Qudsi Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Wahai anak-anak Adam, (sebutkan) zikirkanlah Aku selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas solat asar barang sekejap maka Aku memadai kepada engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyanglah duha sebanyak 8 rakaat."
(Diriwayatkan oleh Sayyidina Hassan r.a)

Di dalam al-Mathurat ada himpunan ayat-ayat al-Quran pilihan, doa-doa daripada Nabi Muhammad S.A.W dan banyak fadilat dan kelebihannya bagi sesiapa yang membacanya selepas subuh dan selepas asar/magrib. Kelebihannya adalah seperti berikut :

1. Tidak dihampiri syaitan

2. Rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini.

3. Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat.

4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.

5. Selamat dari segala sesuatu.

6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.

7. Allah berhak untuk meredainya

8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.

9. Terhindar daripada syirik.

10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.

11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.

12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.

13. Sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh Allah hingga ke waktu petang.Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.

14.Mengamalkannya umpama mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W. dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.

Marilah kita amalkan zikir-zikir di dalam al-Mathurat untuk meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah S.W.T. dan dapat memelihara diri kita daripada gangguan sihir dan bisikan syaitan.

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU DALAM ISLAM



KELEBIHAN  MENUNTUT  ILMU DALAM ISLAM
( ditulis ringkas oleh Cikgu Nora untukdimuatkan di dalam Buletin SMK Keladi, Kulim edisi Mac 2013)

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ
وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬
Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11; Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dikalangan kamu dan juga yang menuntut ilmu, dan Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Daripada Abu Darda’, bawasanya beliau mendengar Rasulullah bersabda ”Sesiapa yang berjalan semata-mata kerana ingin menuntut ilmu, Allah akan permudahkan jalannya ke syurga dan Sesungguhnya para malaikat menguncupkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana meredhai apa yang dibuatnya, dan sesungguhnya seseorang yang mengajarkan kebaikan akan dimohon ampun oleh makhluk yang ada di langit mahupun di bumi hingga ikan yang berada didalam air. 

Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar (wang) tidak juga dirham, yang mereka wariskan hanyalah ilmu, dan barangsiapa yang menuntut ilmu itu. maka sesungguhnya dia telah mendapat bahgian yang paling banyak”
(hadis sahih, diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Attarmizi, Ibnu Majjah dan Ibnu Hibban)

Kelebihan  Menuntut  Ilmu :
1          Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih
              tinggi. (surah al-Mujadalah, ayat 11 )

2          Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia.  (surah al-Zumar, ayat 9)

3          Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan
             cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. (surah al-Fathir, ayat 28 )

4          Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

5          Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna

6          Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang
             dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat

7          Dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia. Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti
             ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya